WASHINGTON: Calon Demokrat Joe Biden mendahului Pilihan Raya Amerika Syarikat (AS) mengatasi Presiden Donald Trump dalam persaingan tahun ini untuk menguasai Rumah Putih dengan pengundian masih berlangsung di banyak negeri, lapor Agensi Anadolu.
Biden menang di Connecticut, Delaware, Illinois, Maryland, Massachusetts, New Jersey, Rhode Island, Vermont dan Virginia, di negeri yang menyokong Demokrat, manakala Trump mendahului di negeri yang mendapat sokongan konservatif iaitu Alabama, Kentucky, Mississippi, Oklahoma, Carolina Selatan, Tennessee dan West Virginia, menurut The Associated Press.
Bekas naib presiden itu telah menambah 85 undi elektoral berbanding 55 untuk Trump. Mana-mana calon perlu menang sekurang-kurangnya 270 undi elektoral untuk memenangi Rumah Putih.
Pusat pengundian ditutup di lebih 20 negeri dan Washington pada 8 malam Waktu Timur (0100 GMT), termasuk negeri-negeri di Michigan, Pennsylvania dan Texas.
Presiden Donald Trump dimaklumkan mendahului di Florida dengan 3.27 peratus, lapor agensi berita Sputnik berdasarkan keputusan rasmi pertama.
Trump mengatasi saingannya Joe Biden, 51.19 – 47.92 peratus setelah 10,793,616 undi dikira.
Florida dengan 29 undi elektoral adalah kemenangan tertinggi ketiga di antara semua negeri dan terbesar yang kerap menukar warna parti.
Ia menyokong calon Republikan tiga kali dan dua kali menyokong Demokrat dalam lima pilihan raya presiden terakhir. Pada 2016, Trump mengalahkan Hillary Clinton dengan kurang daripada 113,000 undi.
Sama ada Biden atau Trump perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 270 undi elektoral untuk menguasai Rumah Putih.
Ketika berusia 70 tahun pada Januari 2017, Donald Trump menjadi presiden tertua yang dipilih dalam sejarah Amerika Syarikat (AS).
Andai Joe Biden menang pilihan raya kali ini, beliau akan memecahkan rekod itu yang mana Biden akan mencecah usia 78 tahun sebelum upacara pelantikan dijadual 20 Januari nanti dan berusia 81 pada pilihan raya berikutnya pada 2024.
Trump mengambil alih rekod presiden tertua daripada Ronald Reagan, yang berusia hampir 70 tahun ketika mengangkat sumpah jawatan pada 1981.
Sebelum Reagan, jika diimbau sejarah 140 tahun yang lalu, Presiden William Henry Harrison berusia 67 tahun ketika dilantik pada 1840.
Bagaimanapun, beliau menjadi presiden paling singkat berkhidmat apabila meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru pada hari ke-32 mengetuai Rumah Putih.
Trump dan Biden masih berkongsi pengiktirafan sebagai calon tertua yang pernah mencalonkan diri sebagai presiden.
Republikan Bob Dole dan John McCain berusia awal 70-an ketika masing-masing menyertai kempen presiden. McCain akhirnya tewas di tangan Barack Obama, yang baru berusia 47 tahun ketika dilantik menjadi presiden.
Senator Bernie Sanders akan memecahkan semua rekod sebelum ini, jika beliau memenangi pemilihan peringkat awal Demokrat. Sanders berusia 79 tahun pada September.-Bernama