Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Kerajaan perketat kawalan tenaga di bangunan kerajaan – Fadillah
  • SEMASA

Kerajaan perketat kawalan tenaga di bangunan kerajaan – Fadillah

Utusan Sarawak 11 hours ago
TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof.

KUALA LUMPUR:  Kawalan penggunaan tenaga di bangunan kerajaan akan diperketatkan termasuk menetapkan suhu penyaman udara pada minimum 24 darjah Celsius berikutan krisis tenaga global, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata sehubungan dengan itu, penjawat awam digalakkan memakai pakaian yang lebih sesuai dengan iklim tempatan seperti batik, kemeja korporat atau baju Melayu bagi mengurangkan kebergantungan kepada penyejukan berlebihan.

Beliau berkata langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memimpin melalui teladan dalam penggunaan tenaga secara berhemat.

“Sebagai langkah proaktif dalam menghadapi krisis tenaga global, kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah penjimatan tenaga di peringkat nasional,” katanya pada Taklimat Krisis Tenaga Global yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi mesej video mengumumkan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula 15 April depan sebagai langkah proaktif dalam mendepani krisis tenaga global.

Keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat Jemaah Menteri itu bertujuan mengurangkan penggunaan bahan api dan memastikan kemampanan bekalan tenaga negara yang terkesan akibat krisis tenaga global.

Fadillah berkata Malaysia berada dalam keadaan terkawal dan bersedia mengambil langkah proaktif bagi mengurus kesan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat yang kini menjejaskan bekalan serta harga minyak dunia.

“Kita kini berada dalam satu fasa yang mencabar dalam landskap ekonomi global. Krisis tenaga global yang sedang berlaku, susulan konflik di Asia Barat telah memberi kesan langsung kepada bekalan dan harga tenaga di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata gangguan terhadap laluan strategik seperti Selat Hormuz, yang menjadi nadi kepada aliran minyak global telah meningkatkan ketidaktentuan pasaran serta menekan harga minyak ke paras yang tinggi.

Fadillah berkata sebagai sebuah ekonomi terbuka Malaysia tidak terkecuali daripada tempias krisis berkenaan.

“Kita harus berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya krisis ini berlarutan,” katanya. 

Beliau berkata kerajaan memahami kebimbangan rakyat terhadap impak krisis itu, justeru pendekatan yang diambil adalah jelas, tersusun serta berfokus kepada keutamaan tertentu.- Bernama

Continue Reading

Previous: Konflik Asia Barat berlarutan, pemulihan dijangka ambil masa panjang – PM Anwar
Next: Penjawat awam di Wilayah Persekutuan dan semua ibu negeri layak BDR tiga hari seminggu, beberapa sektor dikecualikan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.