Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Kes Arm: James Chai diberi tempoh dua minggu tampil bantu siasatan
  • JENAYAH

Kes Arm: James Chai diberi tempoh dua minggu tampil bantu siasatan

Utusan Sarawak 8 hours ago
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi tempoh dua minggu kepada Chai Jin Shern untuk tampil membantu siasatan kes membabitkan firma semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom, Arm Holdings Plc.

Dalam kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan pihaknya juga bersedia menanggung kos penerbangan bekas pembantu Datuk Seri Rafizi Ramli itu, yang lebih dikenali sebagai James Chai, untuk pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan.

“Sekiranya beliau masih gagal hadir setelah diberikan lanjutan masa sebanyak dua kali, SPRM akan mempertimbangkan untuk mendapatkan kerjasama saluran antarabangsa termasuk polis antarabangsa (Interpol) atau agensi penguatkuasaan luar negara bagi mengesan dan memastikan kehadiran beliau,” menurut kenyataan itu.

SPRM menegaskan bahawa semua individu yang dipanggil untuk membantu siasatan wajib memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

“Sekiranya James Chai berpendirian bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan, tindakan yang sewajarnya adalah tampil memberi keterangan kepada SPRM, bukannya terus mengemukakan penjelasan di ruang awam tanpa menghadirkan diri kepada pihak berkuasa,” kata kenyataan itu.

SPRM turut menegaskan bahawa tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang, dan siasatan akan diteruskan secara profesional, bebas dan berasaskan bukti.

Suruhanjaya itu memaklumkan James Chai dikenal pasti sebagai individu yang diperlukan untuk membantu siasatan dan pihaknya telah mengeluarkan Notis Mengesan Individu pada 4 Mac lepas bagi mengesan lelaki tersebut.

“Susulan itu, SPRM menerima surat daripada Tetuan beliau (James Chai) bertarikh 9 Mac 2026 yang memaklumkan bahawa James Chai tidak dapat hadir untuk dirakam percakapan dengan alasan kos penerbangan dan kekangan pekerjaan.

“SPRM kemudian telah mengeluarkan surat balas bertarikh 13 Mac 2026 memberi lanjutan masa untuk James Chai hadir pada 31 Mac 2026, namun beliau sekali lagi gagal memaklumkan keinginan untuk hadir,” katanya.

Sehingga kini, seramai 17 saksi telah dirakam percakapan melibatkan pegawai Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan kes itu, termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). 

SPRM juga telah mengambil dokumen penting termasuk perjanjian dan dokumen sokongan, dan dijangka merakam percakapan lapan lagi saksi, termasuk individu yang berada di luar negara.

Pada 16 Februari lepas, SPRM dilaporkan membuka kertas siasatan berhubung satu perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.

Menurut sumber, siasatan itu dijalankan susulan aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian berkenaan dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberi kesan kewangan kepada kerajaan.

Sumber itu berkata siasatan turut menjurus kepada unsur konflik kepentingan apabila beberapa individu dikatakan telah diberikan jawatan tinggi dalam syarikat asing tersebut selepas mereka berhenti daripada kementerian berkenaan. – Bernama

Tags: Jenayah

Continue Reading

Previous: Op Tapis Khas: Dua penagih dadah diberkas di Pakan
Next: Tiga lelaki ditahan, polis rampas 6.20 gram syabu dalam serbuan di Belawai

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.