
BINTANGOR: Seorang lelaki berumur 28 tahun ditahan dalam Ops Tapis Khas yang dijalankan pasukan Tugas Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata suspek ditahan kira-kira 3.00 petang semalam sebelum dibawa ke IPD Meradong bagi tindakan lanjut.
“Saringan ujian air kencing terhadap suspek di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Berdasarkan semakan rekod lampau, dapati suspek tiada mempunyai sebarang rekod jenayah atau dadah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun jika disabitkan kesalahan.
“Pihak polis IPD Meradong memandang serius kesalahan dadah dalam kalangan masyarakat dan tidak berkompromi dengan masalah tersebut.
“Saya menyeru supaya masyarakat menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan kegiatan dadah di Daerah Meradong.
“Maklumat boleh disalurkan ke Balai Polis Bintangor di talian 084-693222,” katanya.
Oleh Earl Anek