
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan global yang semakin meningkat, dengan kerajaan memperluaskan langkah-langkah ‘Pelan B’ untuk memastikan kestabilan dan pertumbuhan berterusan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, asas-asas ekonomi yang kukuh, disokong oleh kejelasan dasar, kestabilan politik dan penyelarasan institusi, terus menempatkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik.
“Terdapat daya tahan ekonomi yang jelas… (dan Malaysia) kekal sebagai (destinasi) pelaburan yang menarik, sehubungan itu, kita merangka program yang dapat menyediakan ekonomi untuk pertumbuhan.
“Di peringkat serantau, kita mampu mengekalkan kedudukan ini hasil daripada penyelarasan yang kukuh antara institusi utama, termasuk bank pusat dan Perbendaharaan, serta pengurusan ekonomi yang konsisten,” katanya pada Forum Ilmuan Malaysia MADANI Siri 9 di sini, hari ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, bertindak sebagai moderator pada forum itu yang turut disertai oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dan Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia Apurva Sanghi.
Pada masa yang sama, Anwar berkata, kerajaan mengambil langkah proaktif untuk menangani risiko global yang muncul, termasuk ketegangan geopolitik di Asia Barat, yang menambah kerumitan kepada persekitaran luaran.
“Kita kini memasuki ‘situasi’ yang agak belum diterokai, dengan cabaran-cabaran yang baharu,” tambah beliau.
Beliau berkata mengenal pasti isu-isu yang muncul lebih awal membolehkan kerajaan bertindak balas dengan lebih berkesan dan memastikan langkah-langkah yang sesuai diambil.
“Ini bermakna kita mengakui terdapat masalah… dan oleh itu kita perlu memaklumkan kepada rakyat,” jelas beliau lagi.
Perdana Menteri turut menekankan bahawa kerajaan mengamalkan pendekatan yang terukur dalam menguruskan situasi itu dengan menyatakan sebarang penyelesaian terhadap ketegangan global mungkin mengambil masa untuk diterjemahkan kepada keadaan ekonomi yang normal.
“Walaupun ia diselesaikan esok, ia akan mengambil masa sebulan sebelum kita dapat beroperasi pada tahap sepenuhnya,” kata beliau.
Beliau berkata, penglibatan berterusan dengan kementerian, agensi, sektor swasta dan rakan antarabangsa akan kekal penting dalam memastikan Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mengemudi cabaran luaran sambil mengekalkan trajektori pertumbuhannya.
Sehubungan itu, Anwar turut menyeru usaha kolektif di peringkat kebangsaan untuk menyokong dasar-dasar ekonomi dan mengekalkan kestabilan di tengah-tengah cabaran global, sambil menekankan kepentingan memberi tumpuan kepada keutamaan ekonomi negara. – Bernama