
SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik meluluskan dua projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2027 berjumlah keseluruhan RM550,000 bagi meningkatkan kemudahan asas dan prasarana di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM200,000 diperuntukkan bagi membaik pulih prasarana di Rumah Ribun, Tinting Melaban, Sungai Klampai, manakala RM350,000 lagi adalah bagi pembinaan sebuah dewan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Klampai.
Beliau berkata, kelulusan projek ini adalah selaras dengan komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat luar bandar terus dipelihara melalui penyediaan kemudahan yang lebih selesa dan selamat.
“Peningkatan prasarana ini amat penting bagi menyokong aktiviti harian penduduk serta mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif, khususnya kepada komuniti rumah panjang dan warga sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di Rumah Ribun, Tinting Melaban, Sungai Klampai, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Friday turut meluangkan masa beramah mesra dan bersantai bersama penduduk rumah panjang dari kawasan sekitar sebagai usaha mendekati rakyat serta mendengar sendiri keperluan mereka.
Katanya, pendekatan turun padang seperti ini penting bagi memastikan setiap perancangan pembangunan benar-benar memenuhi keperluan sebenar masyarakat setempat.
Turut hadir pada program tersebut ialah Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, Morris Nayup; Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Kecil Roban, Steve Miller Nuas, Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Saratok, Sandra Luna; Pemanca Thomas Lamit; Tuai-Tuai Rumah; Ahli Majlis Daerah Saratok serta penduduk dari beberapa rumah panjang berdekatan.
Oleh Adi Safarman