
PETRA JAYA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat oleh Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Azhan Md Othman dalam satu pertemuan yang berlangsung di Kompleks Satria Pertiwi, hari ini.
Kunjungan hormat tersebut merupakan pertemuan rasmi pertama beliau bersama Premier Sarawak sejak memulakan tugas sebagai Panglima Tentera Darat pada 1 Januari 2026.
Pertemuan itu menjadi platform untuk mengeratkan hubungan kerjasama antara Tentera Darat Malaysia dan kerajaan Sarawak, khususnya dalam aspek keselamatan, pembangunan serta kesejahteraan Sarawak.


Delegasi Tentera Darat Malaysia yang turut hadir ialah Panglima Medan Timur, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Panglima 1 Divisyen, Mej Jen Dato’ Khairul Anuar Abd Aziz serta AKS G, Mej Jen Dato’ Azudin Hassan.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Abdul Wahab Rahim.- Sarawakku