
KUCHING: Nur Azhar Bujang meneruskan khidmat sebagai Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak selepas mengangkat sumpah dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Bangunan DUN Sarawak, di sini, hari ini.
Upacara angkat sumpah tersebut disempurnakan di hadapan Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, sebelum beliau menandatangani watikah pelantikan sebagai pengesahan rasmi jawatan berkenaan.
Majlis itu turut disaksikan oleh Timbalan Speaker DUN Sarawak, Dato Idris Buang, Peguam Kanan Pejabat Peguam Besar Sarawak, Dr Jady@Zaidi Hassim, serta pegawai kanan DUN Sarawak.

Pelantikan semula ini merupakan kesinambungan kepada peranan yang telah digalas beliau sejak tahun 2024 selepas mengambil alih jawatan tersebut daripada Ahli Dewan Negara, Senator Pele Peter Tinggom.
Keputusan mengekalkan beliau dalam jawatan tersebut mencerminkan keyakinan berterusan terhadap kepimpinan, pengalaman serta komitmen beliau dalam memastikan pentadbiran DUN Sarawak berjalan lancar.
Majlis berkenaan turut menjadi simbol kesinambungan pentadbiran serta pengukuhan institusi legislatif negeri dalam melaksanakan fungsinya dengan lebih berkesan.
Oleh Adele Rissa