
BINTANGOR: Usaha berterusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong membanteras penyalahgunaan dadah membuahkan hasil apabila dua orang lelaki tempatan ditahan dalam operasi Ops Tapis Khas.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata kedua-dua suspek berumur 28 dan 32 tahun tersebut ditahan oleh pasukan Task Force IPD Meradong sekitar 1.15 petang semalam.
“Saringan ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Semakan rekod lampau, dapati kedua-dua suspek tiada mempunyai sebarang rekod jenayah atau dadah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun jika disabitkan kesalahan.
“Pihak polis IPD Meradong memandang serius kesalahan dadah di kalangan masyarakat dan tidak berkompromi dengan masalah tersebut.
“Saya menyeru supaya masyarakat menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan kegiatan dadah di Daerah Meradong.
“Maklumat boleh disalurkan ke Balai Polis Bintangor di talian 084-693222,” katanya.
Tambahnya, kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu pihak polis membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat terus terpelihara.
Oleh Earl Anek