
SIBU: Parti politik disaran bersikap jujur terhadap diri sendiri serta mengutamakan perpaduan dalaman bagi memastikan kekuatan dan kelangsungan perjuangan terus terpelihara.
Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Dato Sri Tiong King Sing menegaskan, kelemahan sesebuah parti lazimnya berpunca daripada perpecahan dalaman, bukannya ancaman luar.
“Dalam perjuangan politik, kita mesti jujur kepada diri sendiri. Ada kalanya parti menjadi lemah bukan kerana musuh luar, tetapi disebabkan perpecahan dalam kalangan sendiri.
“Kepimpinan dan ahli di semua peringkat perlu mengekalkan disiplin serta kesatuan bagi memastikan parti kekal relevan dalam landskap politik semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibaca oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Joshua Ting semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tiga Tahun Sekali PDP Bahagian Dudong di Gelanggang Bola Keranjang Pekan Durin, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan ahli parti memahami serta menyokong dasar kerajaan negeri di bawah kepimpinan Abang Johari yang memacu Sarawak ke arah hab tenaga karbon rendah.
Katanya, agenda tersebut merupakan hala tuju masa depan negeri yang memerlukan sokongan menyeluruh, khususnya daripada ahli parti sendiri.
“Ahli parti perlu memahami dasar kerajaan, menjelaskannya kepada masyarakat dan meyakinkan rakyat bahawa ini adalah arah terbaik untuk Sarawak,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya mengingatkan bahawa ahli parti bukan sekadar penyokong, sebaliknya berperanan sebagai penggerak utama dalam menyampaikan dasar serta perjuangan parti hingga ke akar umbi.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan lebih banyak program berorientasikan rakyat dilaksanakan selain menegaskan keperluan pemimpin turun padang secara konsisten.
“Jangan tunggu rakyat datang kepada kita, sebaliknya kita perlu mendekati mereka untuk memahami masalah dan keperluan sebenar,” katanya lagi.
Mengulas peranan dalam gabungan, beliau berkata perpaduan dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu terus diperkukuh melalui semangat kerjasama dan saling menghormati antara parti komponen.
Tambahnya, kestabilan politik yang dinikmati Sarawak ketika ini adalah hasil kesepaduan dalam GPS, sekali gus menjadi asas kepada pembangunan berterusan negeri.
Hadir sama ialah ADUN Meluan, Rolland Duat Jubin; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Brian Fong; serta Pengerusi PDP Bahagian Dudong, Teo Boon Siew bersama ahli-ahli lain.
Oleh Tarani Lanting