KUCHING: Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud merasmikan Taman Islam Darul Hana yang terletak di dalam pekarangan Masjid Darul Hana Kuching, malam kelmarin.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan tetamu kenamaan lain.
Projek yang bernilai RM6.8 juta itu dibangunkan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) bermatlamat untuk mereliasasikan inisiatif Kerajaan Sarawak bagi melahirkan konsep ‘masjid dalam taman’.
Fasa pertama pembinaan bermula pada Mac 2019 dan siap pada Oktober ini, manakala fasa kedua dijangka bermula pada 2021 dengan keseluruhan keluasan tanah adalah sekitar 12 ekar.
Perasmian taman tersebut merupakan antara acara yang berlangsung sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak bagi tahun 1142H/2020M.
Pengisian majlis pada malam itu dimulai selepas solat maghrib berjemaah dengan sesi tazkirah oleh Sahibus Samahah Datu Kipli Yassin, Mufti Negeri Sarawak.
Tun Pehin Sri Taib dan Ketua Menteri serta pasangan seterusnya bersama jemaah lain melantunkan Zikir Maulid bagi memperingati hari keputeraan Nabi Muhamad SAW.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Hal Ehwal Agama dan DBKU, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Yang di Pertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Sri Mohd. Abu Bakar Marzuki.
Oleh Nur Ain Otsman