

SIBU: Kebakaran semak di belakang Institut Memandu Ngu Chung Beng di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini memasuki hari keempat hari ini dengan keadaan api dilaporkan masih terkawal.
Kejadian yang bermula pada 23 Mac lalu sekitar 4.20 petang itu terus dipantau dan dipadamkan oleh pelbagai agensi bagi mengelakkan ia merebak ke kawasan berhampiran, khususnya penempatan penduduk.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Malaysia Daerah Sibu, Mej (PA) Mohd Reduan Aini, operasi tinjauan hari ini bermula seawal 8.23 pagi sebelum pasukan tiba di lokasi pada 8.40 pagi.
Katanya, operasi pemadaman melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pasukan RELA.


“Bagi memudahkan operasi, sebuah jentera jengkaut digunakan untuk membuka laluan ke kawasan kebakaran, manakala aset dron turut digunakan bagi tujuan pemantauan,” ujarnya menerusi kenyataan, sebentar tadi.
Beliau memberitahu, APM membantu operasi pemadaman bagi menghalang api daripada merebak ke kawasan perumahan, selain bersedia melindungi keselamatan orang awam sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal.
“Setakat 5.00 petang, kebakaran masih dalam keadaan terkawal dan tiada kawasan perumahan dilaporkan terjejas.
“Bagaimanapun, operasi pemadaman ditangguhkan pada jam 5 petang dan akan disambung semula esok. Perkembangan lanjut mengenai situasi di lokasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata beliau.
Oleh Akun Giman