
WASHINGTON: Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) sedang menyiasat satu insiden melibatkan helikopter Pengawal Kebangsaan Tentera AS dan sebuah pesawat penumpang yang hampir bertembung ketika menghampiri Lapangan Terbang John Wayne di California, menurut media tempatan pada Khamis, lapor Xinhua.
Pada petang Selasa, pesawat penumpang dari San Francisco itu sedang bersiap untuk mendarat di lapangan terbang Orange County apabila amaran pengelakan perlanggaran berbunyi di kokpit.
Amaran itu dicetuskan oleh helikopter UH-60 Black Hawk milik Pengawal Kebangsaan California, menurut laporan CNN.
Pesawat Boeing 737 itu, yang membawa 162 penumpang dan enam anak kapal, terpaksa mendatar semula penerbangan bagi menangani kecemasan itu.
Pada 29 Januari 2025, sebuah helikopter Black Hawk milik tentera dan sebuah pesawat penumpang bertembung di udara berhampiran sebuah lapangan terbang di Washington, menjadikannya kemalangan udara paling banyak meragut nyawa di bandar itu sejak 1982.
Pada akhir Januari tahun ini, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) menyalahkan “kegagalan sistemik yang serius” bagi pertembungan maut di udara itu ketika mengeluarkan dapatan selepas siasatan selama setahun.
Sementara itu, Pengerusi NTSB Jennifer Homendy mengkritik FAA kerana gagal bertindak terhadap kebimbangan yang dibangkitkan oleh pengawal trafik udara di lapangan terbang itu walaupun menerima laporan lebih 80 kes pesawat hampir bertembung yang serius dalam beberapa tahun kebelakangan ini melibatkan helikopter dan pesawat penumpang. – Bernama-Xinhua