
KUCHING: Sebanyak 283 kes kemalangan jalan raya direkodkan di Sarawak sepanjang pelaksanaan Op Selamat 26 sempena Hari Raya Aidilfitri 2026, menunjukkan penurunan 14.8 peratus berbanding 332 kes pada operasi sama tahun lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, operasi khas itu dilaksanakan selama enam hari bermula 19 hingga 24 Mac lalu bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan.
Menurut beliau, walaupun jumlah kemalangan menunjukkan penurunan sebanyak 49 kes, angka kematian pula meningkat daripada lima kematian pada tahun lalu kepada lapan kematian pada tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 60 peratus.
“Sebanyak lima kes kemalangan maut direkodkan dalam tempoh tersebut, sama seperti Op Selamat sebelum ini, namun jumlah korban meningkat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menjelaskan, pengguna motokar mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu lima orang atau 62.5 peratus daripada keseluruhan lapan mangsa, diikuti pengguna motosikal dua orang (25 peratus) dan seorang pengayuh basikal (12.5 peratus).
Mengulas lanjut, beliau berkata, punca utama kemalangan adalah disebabkan kecuaian dan kelalaian pemandu seperti memandu melebihi had laju hingga terbabas, bertembung secara berdepan, cuai ketika keluar masuk simpang serta pelanggaran dari belakang.
Dalam pada itu, sebanyak 14,723 saman telah dikeluarkan sepanjang Op Selamat 26, meningkat 119.5 peratus atau 8,016 saman berbanding 6,707 saman pada tahun sebelumnya.
Menurut beliau, peningkatan itu selaras dengan pendekatan operasi yang menekankan konsep ‘Pre-emptive Services and Total Enforcement’ dengan kehadiran anggota di lokasi dikenal pasti serta penguatkuasaan terhadap lima kesalahan utama trafik.
“Strategi yang dilaksanakan termasuk Op Lancar, Omnipresence, Show of Force serta Enforcement by Objective bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan pemantauan di lokasi berisiko tinggi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas serta mengutamakan keselamatan diri dan orang tersayang.
Oleh Norman B