
SEBAUH: Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom mengadakan kunjungan sambutan Hari Raya Aidilfitri ke beberapa kampung di kawasan Sebauh bagi mendekati masyarakat setempat, petang semalam.
Kunjungan tersebut melibatkan Kampung Labang dan Kampung Pandan, sebelum meneruskan kunjungan ke majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kampung Hilir Sebauh di Balairaya kampung berkenaan.
Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan perancangan pembangunan kampung secara tersusun bagi memastikan kesejahteraan dan kemajuan masyarakat luar bandar.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena itu, setiap kampung perlu mempunyai pelan induk yang jelas sebagai panduan pembangunan jangka panjang selaras dengan aspirasi Sarawak mencapai status wilayah berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Perancangan ini penting supaya kita tahu hala tuju pembangunan kampung, termasuk aspek ekonomi, sosial dan infrastruktur.
“Justeru, kerjasama dalam kalangan penduduk kampung amat penting bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan berkesan, di samping memperkukuh perpaduan komuniti dan memudahkan urusan menghadapi sebarang cabaran,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan luar bandar juga perlu memberi tumpuan kepada pengukuhan sektor pertanian serta pemasaran hasil tempatan melalui pendekatan lebih sistematik dan bersepadu.
Tambahnya, penggunaan teknologi moden seperti rumah hijau serta pembangunan ekosistem ekonomi kampung mampu meningkatkan produktiviti dan pendapatan penduduk.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan membimbing golongan belia agar tidak terlibat dalam aktiviti tidak sihat, sebaliknya memanfaatkan masa dengan aktiviti berfaedah.
Katanya, penekanan terhadap pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) adalah penting bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Beliau turut menggalakkan komuniti luar bandar membangunkan produk tempatan dengan penjenamaan tersendiri bagi meningkatkan nilai pasaran, khususnya dalam sektor pertanian dan akuakultur.
Menurutnya, usaha memperkukuh keupayaan pengeluaran makanan juga penting bagi memastikan masyarakat mampu berdikari serta meningkatkan taraf hidup.
Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Hilir Sebauh serta RM10,000 kepada Biro Wanita bagi menyokong aktiviti komuniti setempat.
Turut hadir, Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti; Pegawai Daerah Sebauh, Thaddeus Ling Bartholomew Allu, Tuai Rumah Raymond Plen serta Jurutera Bahagian Bintulu (JKR), Ir Lau Sie Hung.
Oleh Carolyne Utih