
BINTULU: Kebakaran hutan melibatkan kawasan seluas sekitar 4.05 hektar dilaporkan berlaku di Hutan Similajau di sini, malam tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.00 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong digerakkan ke lokasi.
Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran hutan sedang marak melibatkan keluasan awal dianggarkan tiga ekar.

“Operasi pemadaman dilakukan dengan menggunakan dua aliran sepanjang 400 kaki bersama dua pembahagi aliran dan dua nozel dengan sumber air daripada jentera serta lori tangki air.
“Setakat jam 12.20 tengah malam, kebakaran melibatkan kawasan seluas sekitar 4.05 hektar dengan 3.40 hektar atau 80 peratus berjaya dipadamkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Usaha pemadaman tertumpu kepada baki kebakaran seluas sekitar 1.10 hektar yang masih belum dapat dikawal sepenuhnya.
Bagaimanapun, operasi pemadaman dihentikan sementara pada jam 2.16 pagi tadi berikutan kekurangan sumber air di lokasi serta bekalan air dalam jentera telah habis digunakan.
“Operasi pemadaman disambung semula pada jam 8.00 pagi hari ini dengan bantuan tambahan anggota dari BBP Bintulu,” katanya.