
BELAGA: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Uma Sambop, Sungai Asap di sini sejak Ahad lalu, dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini diteruskan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.30 petang semalam.
Mangsa dikenali sebagai Lazarus Kulleh, 67, yang dilaporkan keluar dari rumah sekitar jam 6.30 pagi pada 22 Mac sebelum tidak pulang sehingga kini.

Laporan kehilangan dibuat oleh isteri mangsa selepas usaha pencarian oleh ahli keluarga serta penduduk kampung tidak menemui sebarang petunjuk.
“Difahamkan mangsa mempunyai masalah kesihatan mental dan sedang menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi SAR hari pertama hari ini dimulakan dengan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga menghadiri sesi taklimat bersama agensi berkaitan di Balai Polis Belaga sebelum bergerak ke lokasi kejadian.

Pasukan tiba di lokasi pada jam 10.40 pagi dan mendapatkan maklumat lanjut daripada keluarga terdekat mangsa.
Radius pencarian awal melibatkan laluan sepanjang sekitar 70 kilometer dari Pekan Belaga ke rumah mangsa di Uma Sambop.
Kaedah pencarian setakat ini adalah dengan menyebarkan maklumat serta gambar mangsa kepada orang awam di sepanjang laluan berkenaan bagi mendapatkan sebarang petunjuk.
Setakat jam 12.00 tengah hari, mangsa masih belum ditemui dan operasi dihentikan sementara sebelum disambung semula.