
SONG: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ditemukan lemas selepas dipercayai mandi di Sungai Bangkit Katibas, dekat Nanga Bangkit di sini, tengah hari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 1.15 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song digerakkan ke lokasi kejadian.
“Mangsa, dikenali sebagai Sylvester Jarbis Anak Mesin, dilaporkan keluar mandi bersama dua rakannya sekitar 12.30 tengah hari sebelum dipercayai lemas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mangsa ditemukan oleh penduduk kampung kira-kira 100 meter dari lokasi terakhir dia dilihat pada 3.15 petang, sebelum dihantar ke Klinik Nanga Bangkit.
Pasukan bomba yang menempuh perjalanan sejauh 65 kilometer, termasuk menggunakan perahu penduduk kampung dari jeti Nanga Banjor Katibas berikutan ketiadaan laluan darat, tiba di lokasi pada 4.20 petang.
“Setibanya di lokasi, pihak bomba hanya membuat pengesahan maklumat kerana mangsa telah ditemukan lebih awal dan tiada operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan,” katanya.
Operasi dilaporkan terkawal pada 5.00 petang dan tamat sepenuhnya pada 5.20 petang.
Oleh Tarani Lanting