
PETRA JAYA: Suasana meriah menyelubungi Majlis Ramah Mesra Rakyat sempena Hari Raya di Parlimen Petra Jaya, yang disertai ramai penduduk daripada pelbagai latar belakang, kata Timbalan Perdana Menteri, yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Amar Fadillah Yusof.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada gabungan penghulu dan ketua-ketua masyarakat Petra Jaya kerana berjaya menganjurkan perjumpaan bersama rakyat di kawasan itu.
“Nampaknya, sambutan begitu ramai daripada pelbagai latar belakang. Semua hadir, termasuk mereka yang datang dari jauh. Orang-orang dari Ulu juga turut hadir, malah saya dimaklumkan terdapat empat bas yang datang dari Miri untuk bersama-sama masyarakat Petra Jaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa majlis Rahmah Mesra Rakyat di Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Sarawak di sini, hari ini.
Beliau menekankan bahawa yang paling penting ialah semangat kemasyarakatan di Sarawak yang memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat tanpa mengira latar belakang dan kepercayaan.
“Semangat ini begitu utuh sekali dan amat membanggakan. Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada gabungan penghulu dan ketua-ketua masyarakat Petra Jaya kerana menjayakan perjumpaan bersama rakyat kali ini,” tambah beliau.

Majlis itu memberi peluang kepada penduduk untuk beramah mesra dengan pemimpin mereka serta menyemarakkan suasana Hari Raya dengan penuh harmoni.
Oleh Adele Rissa