
BINTANGOR: Kebakaran belukar berlaku di tapak pembinaan sebuah rumah panjang baharu di Rumah Selat, Sungai Janting berjaya dipadamkan dengan tindakan pantas pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor dalam satu operasi yang dijalankan pada malam tadi.
Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut sekitar 8.25 malam.
“Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mijan Pamin bersama empat anggota bomba bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan kawasan belukar di tapak pembinaan rumah panjang baharu,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, pasukan bomba memadam kebakaran belukar menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan sumber air terbuka dari parit berhampiran.
“Kebakaran berjaya dipadamkan dalam tempoh lebih kurang 15 minit.
“Operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada sekitar 8.58 malam selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan bomba,” katanya.
Oleh Earl Anek