

MIRI: Dua lelaki cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di hadapan stesen minyak Shell Tamu Muhibbah di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar 2.03 pagi itu, kedua-dua mangsa dilaporkan tersepit di dalam kenderaan masing-masing.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri bergegas ke lokasi dan tiba pada 2.04 pagi.
“Pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati, kemalangan melibatkan dua kenderaan yang bertembung.
“Dua mangsa lelaki berusia 25 dan 30 tahun didapati tersepit sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan kesihatan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 3.10 pagi selepas kerja pembersihan jalan dilakukan.
Oleh Liong Chai Ling