
BINTULU: Hospital Bintulu menyeru orang ramai tampil menderma darah susulan keperluan bekalan yang kekal tinggi, khususnya sepanjang musim perayaan apabila jumlah penderma lazimnya menurun.
Menurut kenyataan hospital itu, situasi berkenaan boleh menjejaskan keupayaan fasiliti kesihatan menyediakan rawatan kepada pesakit yang memerlukan transfusi darah secara berterusan.
“Pesakit tidak pernah ‘bercuti’ daripada keperluan darah walaupun ketika musim perayaan.
“Justeru, sokongan masyarakat amat penting bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi,” katanya.
Sehubungan itu, satu kempen derma darah akan diadakan pada Ahad ini (22 Mac) di Boulevard Shopping Mall Bintulu bermula 10.00 pagi hingga 12.30 tengah hari bagi memudahkan orang ramai tampil menyumbang.
Setiap satu beg darah yang didermakan berpotensi menyelamatkan sehingga tiga nyawa, sekali gus memberi impak besar kepada pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan dan berjadual.
Orang ramai yang ingin menderma dinasihatkan memastikan mereka berada dalam keadaan sihat, telah makan dan mendapat rehat mencukupi sebelum hadir.
Ujar kenyataan itu lagi, penyertaan orang awam bukan sahaja membantu menampung keperluan semasa, malah mencerminkan semangat kebersamaan dalam memastikan kesejahteraan komuniti terus terpelihara, terutama ketika musim perayaan.
Oleh Carolyne Utih