


LAWAS: Sepasukan polis menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 27 hingga 41 tahun yang bekerja sebagai buruh kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata, dua suspek pertama ditahan pada pagi semalam di tepi Jalan Punang, Lawas.
“Hasil pemeriksaan tidak menemui sebarang barang salah atau dadah. Namun, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semakan rekod lampau mendapati seorang suspek mempunyai lapan rekod kesalahan berkaitan dadah, manakala seorang lagi mempunyai enam rekod kesalahan sama.
Sementara itu, seorang lagi lelaki berusia 38 tahun turut ditahan dalam operasi berasingan 10.20 malam di sebuah pondok di tepi sungai di Jalan Punang, Lawas.
Hasil pemeriksaan tidak menemui sebarang barang salah atau dadah, namun ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai dua kesalahan terdahulu berkaitan dadah.
Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Oleh Adeng Edrus