
BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) mengesan tujuh premis beroperasi tanpa lesen dalam Operasi Kepatuhan Lesen Beroperasi yang dijalankan di sebuah pusat membeli-belah di sini, baru-baru ini.
Menurut kenyataan BDA, operasi yang dilaksanakan oleh Seksyen Kesihatan Awam dan Alam Sekitar (PHE) itu melibatkan pemeriksaan terhadap 10 premis merangkumi sektor makanan dan bukan makanan.
“Daripada jumlah itu, tujuh premis didapati beroperasi tanpa lesen, manakala satu notis kompaun dan enam notis amaran telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Operasi berkenaan bertujuan memastikan semua premis mematuhi peraturan serta memiliki lesen operasi sah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Antara perniagaan yang diwajibkan memiliki lesen termasuk premis makanan seperti restoran, bakeri, kedai sejuk beku serta kedai daging mentah.
Bagi premis bukan makanan pula, ia melibatkan antaranya hotel dan rumah tumpangan, pawagam, pusat hiburan seperti pub dan karaoke, kedai dobi, salon gunting rambut serta pusat refleksologi dan kesihatan.

Tegas BDA, pihaknya akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap pematuhan dalam kalangan pengusaha sentiasa berada pada tahap memuaskan.
Ujar kenyataan itu lagi, langkah berkenaan penting dalam menjamin kebersihan, keselamatan makanan serta kesejahteraan pengguna di kawasan Bintulu.