
ASAJAYA: Bermula daripada perniagaan kecil-kecilan, seorang usahawan tempatan, Johari Adenan atau lebih dikenali sebagai Abang Ujang, kini berjaya membina jenama sendiri menerusi produk muruku yang semakin mendapat tempat di hati pelanggan di seluruh Sarawak hingga ke Brunei dan Semenanjung Malaysia.
Johari berkata, keputusan untuk memberi tumpuan sepenuh masa dalam perniagaan muruku dibuat selepas melihat potensi besar dalam industri makanan ringan, selain dorongan minat yang mendalam dalam bidang keusahawanan.
“Pada awalnya saya hanya berniaga kecil-kecilan sambil bekerja. Namun selepas melihat sambutan yang semakin baik, saya nekad untuk fokus sepenuhnya dalam penghasilan muruku ini,” katanya.

Menurutnya, produk Muruku Bang Ujang dihasilkan menggunakan resipi tersendiri bermula daripada proses adunan sebelum dibungkus dengan teliti bagi mengekalkan kualiti serta kerangupan produk.
Katanya, antara cabaran utama pada peringkat awal ialah untuk memperkenalkan produk kepada pasaran yang lebih luas, namun situasi tersebut berubah apabila sistem ejen diperkenalkan.
“Selepas ramai yang mencuba dan mula membuat tempahan berulang, produk kami semakin dikenali. Kini, ia bukan sahaja di Sarawak, malah turut menembusi pasaran Semenanjung dan Brunei melalui rangkaian ejen,” jelasnya.

Tambah beliau, keistimewaan muruku tersebut terletak pada kerangupan yang tahan lama serta pilihan perisa seperti pedas, keju dan original yang menjadi kegemaran pelanggan pelbagai peringkat umur.
“Ramai pelanggan yang mencuba akan membuat pembelian semula, malah ada yang berminat untuk menjadi ejen,” katanya.

Dalam pada itu, Johari turut merancang untuk memperluaskan lagi perniagaannya dengan memperkenalkan beberapa perisa baharu serta memperkukuhkan jenama Muruku Bang Ujang agar lebih dikenali di peringkat yang lebih luas.
Mengimbas perjalanan perniagaan, beliau tidak menafikan pernah berdepan cabaran termasuk isu peniruan produk serta dugaan ketika pandemik COVID-19, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus maju.
“Walaupun ada cabaran, sokongan pelanggan menjadi kekuatan utama untuk saya teruskan usaha ini,” ujarnya.
Oleh Norman B