
KUCHING: Junior Chamber International Damai dengan kerjasama Junior Chamber International Entrepreneur Kuala Lumpur menganjurkan program khidmat masyarakat dengan mengagihkan 500 pek bubur lambuk kepada penduduk Kampung Sebuak Landeh, baru-baru ini.
Program itu diketuai pengerusi penganjur, Howard Chua, dengan penglibatan ahli daripada kedua-dua organisasi dalam menyediakan serta mengagihkan juadah tradisional Ramadan berkenaan kepada komuniti setempat.
Seramai tujuh ahli dari JCI Entrepreneur Kuala Lumpur hadir ke Kuching bagi menyertai program berkenaan, yang merupakan kunjungan serta projek khidmat pertama mereka bersama JCI Damai.
Kerjasama tersebut mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua organisasi selain komitmen bersama dalam memberi impak positif kepada masyarakat.
Walaupun berdepan cuaca panas, para ahli tetap berganding bahu menyediakan dan mengagihkan bubur lambuk, sekali gus menyemarakkan semangat prihatin serta perpaduan dalam kalangan penduduk kampung.
Junior Chamber International ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan bagi golongan berumur antara 18 hingga 40 tahun yang menyediakan peluang pembangunan kepimpinan untuk memperkasa belia dalam mencipta perubahan positif dalam komuniti.
Turut hadir, Dato Lo Khere Chiang dan Cr Alvin Chong bagi menyokong usaha murni yang digerakkan golongan belia itu.
Oleh Connie Chieng