
SINGAPURA: Umat Islam di Singapura akan menyambut Hari Raya Puasa pada Sabtu, 21 Mac ini selepas anak bulan Syawal tidak kelihatan pada petang Khamis.
Laporan agensi berita CNA memetik Mufti Singapura, Nazirudin Mohd Nasir sebagai berkata kedudukan hilal Syawal terlalu rendah di ufuk negara itu ketika matahari terbenam, sekali gus menjadikannya mustahil untuk dilihat.
Menurut kenyataan Majlis Ugama Islam Singapura Jumaat (20 Mac) menandakan genap 30 hari umat Islam di republik itu berpuasa pada Ramadan.
Beliau turut mengajak umat Islam memanfaatkan baki Ramadan dengan memperbanyakkan amalan baik dan doa selain menyambut ketibaan Syawal dengan penuh kesyukuran.
“Semoga ikatan silaturahim dan sifat kasih sayang sesama kita terus diperkukuh,” katanya sambil mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua umat Islam di negara itu.