

SARATOK: Tindakan pantas dan semangat kerjasama penduduk Kampung Tanjung Saratok berjaya menghalang kebakaran daripada merebak lebih jauh dalam satu insiden membabitkan sebuah stor simpanan di Lot Bunian petang tadi.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada 3:37 petang.
Sejurus menerima laporan, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT), unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) yang diketuai oleh Komander Operasi, Freddy John, telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, didapati sebuah stor jenis tidak kekal berukuran 12 x 20 kaki persegi telah musnah sepenuhnya dijilat api.
Bagaimanapun, api telah berjaya dipadamkan lebih awal oleh penduduk kampung yang bertindak pantas menggunakan sumber air paip serta dua unit alat pemadam api sebelum ketibaan pihak berkuasa.
Pasukan bomba kemudiannya menjalankan kerja-kerja pemeriksaan rapi atau pembersihan menggunakan satu aliran salur bantu mula bagi memastikan tiada lagi sisa punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada 4:05 petang selepas pihak bomba mengesahkan keadaan benar-benar selamat dan terkawal.
Tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam insiden ini manakala punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam proses siasatan pihak teknikal.
Oleh Adi Safarman