
KAPIT: Mayat lelaki yang dilaporkan hilang selepas perahu yang dinaiki bersama empat rakannya karam di Sungai Batang Rajang ditemukan pagi ini pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak berkata, mayat mangsa dikenali sebagai Brando Jawi Mamba, 21, ditemukan oleh orang awam kira-kira 7.06 pagi berhampiran wharf terminal ke Belaga di hadapan Kapit Town Square.
Menurutnya, pihak bomba menerima maklumat daripada polis mengenai penemuan mangsa sebelum Komander Operasi SAR bersama pasukan penyelamat segera ke lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudiannya berjaya diangkat ke dalam bot sekitar 7.30 pagi sebelum dibawa ke Wharf Kubu untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa berasal dari Rumah Kawin, Nanga Peraran, Sungai Katibas, Song.
Terdahulu, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 7.00 malam pada 13 Mac lalu ketika mangsa bersama empat rakannya menaiki perahu kayu dari Rumah Bunsi, Kampung Atas Kubu, Jalan Sri Baleh menuju ke kawasan parkir kapal tongkang berhampiran Pasar Night Street Kapit.
Bagaimanapun, perahu yang dinaiki mereka dipercayai terbalik dan karam selepas dipukul ombak kuat di Sungai Batang Rajang.
Dalam kejadian itu, empat individu lain berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa dilaporkan hilang sebelum operasi SAR dilancarkan.
Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada 8.20 pagi selepas mangsa ditemukan.
Oleh Tarani Lanting