Aksi Max Dowman meraikan gol bersejarahnya ketika membantu Arsenal menewaskan Everton di London. Foto AFP
LONDON: Remaja sensasi Max Dowman mencipta sejarah Liga Perdana apabila muncul penjaring termuda liga itu ketika membantu Arsenal menewaskan Everton 2-0 sekali gus melebarkan jurang 10 mata di puncak.
Skuad kendalian Mikel Arteta buntu menembusi benteng pelawat selama 89 minit sebelum hantaran lintang Dowman jatuh tepat kepada Viktor Gyokeres untuk membuka jaringan.
Dowman kemudian melengkapkan malam gemilangnya apabila melakukan larian solo dari kawasan sendiri sebelum menolak masuk ke gawang kosong selepas penjaga gol Jordan Pickford naik membantu sepakan penjuru pada masa kecederaan.
Kemenangan itu meletakkan Arsenal semakin hampir menamatkan kemarau 22 tahun kejuaraan liga, walaupun Manchester City yang mempunyai dua perlawanan dalam tangan masih berpeluang merapatkan jurang.
Arteta sebelum itu membuat kejutan dengan menurunkan Kai Havert sebagai penyerang utama, namun percaturan itu kurang menjadi apabila tuan rumah sukar mencipta peluang berkualiti.
Everton hampir mengejutkan tuan rumah menerusi percubaan Dwight McNeil yang terkena tiang serta peluang Beto yang dinafikan aksi cemerlang penjaga gol David Raya.
Namun kemasukan Dowman sebagai pemain gantian mengubah segalanya apabila dia membantu gol pembukaan sebelum memahat nama dalam sejarah liga sebagai penjaring termuda pada usia 16 tahun 73 hari. – AFP