
SIBU: Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang menggesa langkah keselamatan di kawasan sekolah diperkukuh bagi melindungi pelajar, khususnya di sekolah yang terletak di kawasan aliran trafik yang tinggi.
Gesaan itu dibuat susulan insiden seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun cedera dirempuh kenderaan pacuan empat roda ketika melintas jalan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tung Hua di Jalan Tun Abang Haji Openg, semalam.
Beliau berkata, kejadian tersebut menunjukkan keperluan penambahbaikan infrastruktur serta kawalan lalu lintas yang lebih berkesan di kawasan sekolah.
“Insiden seperti ini menunjukkan keperluan langkah keselamatan yang lebih baik bagi melindungi pelajar, khususnya di kawasan sekolah yang mempunyai aliran trafik yang sibuk,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran program Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan di Jumbo Grocer di sini hari ini.
Tiang berkata, Majlis Perbandaran Sibu (MPS) telah diminta mempertimbangkan pemasangan lampu isyarat lintasan pejalan kaki di hadapan sekolah berkenaan.
Menurutnya, kemudahan yang dicadangkan merangkumi lintasan zebra, lampu isyarat serta pemasa kira detik bagi mengawal pergerakan trafik, khususnya pada waktu puncak persekolahan.
Beliau menjelaskan lampu isyarat tersebut dicadang beroperasi pada waktu tertentu seperti sebelum dan selepas sesi persekolahan supaya tidak menjejaskan aliran trafik secara keseluruhan.
“Lampu isyarat lebih berkesan berbanding papan tanda semata-mata kerana ia memaksa pemandu berhenti apabila pelajar melintas jalan,” katanya.
Selain SMK Tung Hua, beliau berkata beberapa sekolah lain di kawasannya turut dipertimbangkan untuk penambahbaikan keselamatan yang sama termasuk kemungkinan pembinaan jejantas pejalan kaki jika keadaan jalan sesuai.
Menurutnya, perunding telah diminta menyediakan reka bentuk jejantas pejalan kaki bagi sekolah-sekolah di sepanjang Jalan Ulu Sungai Merah.
Bagi SMK Tung Hua, Tiang turut merancang membina laluan berbumbung di sepanjang pagar sekolah bagi memberi ruang menunggu yang lebih selamat dan terlindung kepada pelajar yang menunggu ibu bapa mereka.
“Keselamatan kanak-kanak adalah keutamaan. Kemudahan seperti lintasan pejalan kaki, lampu isyarat dan infrastruktur lain perlu dipertimbangkan dengan serius bagi mengelakkan kemalangan di hadapan sekolah,” katanya.
Oleh Tarani Lanting