
BINTANGOR: Pengunjung Bazar Ramadan Bintangor berpeluang menimba ilmu mengenai keselamatan kebakaran apabila Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor mengadakan kempen kesedaran keselamatan kebakaran di lokasi tersebut pada semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata kempen ini bertujuan meningkatkan tahap kesedaran orang ramai mengenai langkah pencegahan kebakaran, khususnya melibatkan penggunaan dapur memasak yang sering digunakan di bazar Ramadan.
“Ia turut melibatkan pengagihan bubur kacang yang disediakan oleh anggota bomba sebagai sebahagian daripada usaha mendekati masyarakat.
“Saya dan anggota bomba bertugas mengendalikan kempen kesedaran keselamatan kebakaran tersebut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya, pengunjung turut diberi penerangan mengenai langkah keselamatan kebakaran melalui ceramah yang disampaikan oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Haron Jenai bersama anggota bomba BBP Bintangor.
“Ceramah merangkumi penerangan mengenai kesedaran keselamatan kebakaran, pengenalan kepada alat pemadam api dan tatacara pengendalian kebakaran yang melibatkan dapur memasak.
“Selain itu, demonstrasi tatacara pemadaman kebakaran yang melibatkan dapur memasak turut diadakan bagi memberi pendedahan secara praktikal kepada orang ramai,” katanya.
Katanya, para pengunjung yang hadir turut diberi peluang mencuba sendiri teknik pemadaman kebakaran tersebut di bawah pemantauan anggota bomba.
“Dalam masa yang sama, risalah berkaitan keselamatan dan pencegahan kebakaran turut diedarkan kepada para pengunjung bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil bagi mengelakkan kejadian kebakaran.
“Alhamdulillah, kempen kesedaran keselamatan kebakaran berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Oleh Earl Anek