
KAPIT: Sebuah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Baru, Jalan Abang Sulaihi, di sini tengah malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memberitahu, sepasukan lapan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 12.50 tengah malam.
“Komander Operasi melaporkan, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis struktur separuh kekal sedang terbakar 100 peratus dan telah merebak ke bahagian bumbung surau bersebelahan 20 peratus terbakar,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Katanya, pihak bomba membuat kerja-kerja pemadaman dengan menggunakan satu aliran 200 kaki, dua nozel, air daripada pili bomba.
“Kebakaran tiada melibatkan mangsa, punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. Operasi mengawal dan memadam kebakaran tamat pada jam 2.56 pagi,” ujarnya.
Oleh Akun Giman