
KABONG: Program Ceramah Ihya’ Ramadan yang diadakan di Masjid Assabirin Kabong berjaya menghimpunkan masyarakat setempat dalam suasana penuh keinsafan dan kebersamaan sempena Ramadan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, program seperti ini diharap dapat memperkukuhkan ukhuwah serta menyemarakkan lagi penghayatan Ramadan dalam kalangan masyarakat di kawasan Kabong.
Beliau berkata, pengisian berbentuk kerohanian amat penting bagi mendidik masyarakat agar terus menghayati nilai-nilai murni Ramadan di samping mempererat hubungan silaturahim dalam komuniti.

Terdahulu, Chee Kadir telah menghadiri program tersebut yang dianjurkan oleh Pejabat Agama Islam Bahagian Betong dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Masjid Assabirin Kabong.
Program berkenaan turut dihadiri oleh Timbalan Residen Bahagian Betong, Mohamad Nizam Wang, wakil Pegawai Daerah Kabong, Hamimi Abu Kasim, wakil Pegawai Agama Islam Bahagian Betong, Ustaz Anwar Rosli serta Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Assabirin Kabong, Ahmad @ Johar Bidin.
Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kabong (LAKIK) Kaunselor Ulin Tabur, Penghulu Sani Mohd, Penghulu Rahman @ Dom Kapok serta jemputan lain.

Program dimulakan dengan bacaan doa oleh Penolong Imam Bahagian, Ustaz Khairul Azha Johni sebelum para hadirin mengikuti Tazkirah Khas Ihya’ Ramadan yang disampaikan oleh Ustaz Syahiiruddin Muqri.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan doa berbuka puasa, azan Maghrib serta berbuka puasa bersama sebelum para hadirin menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah.
Oleh Adi Safarman