
PANTU: Cadangan pembinaan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Daerah Pantu dibincangkan dalam satu mesyuarat yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan pemimpin masyarakat bagi memastikan kemudahan pendidikan menengah dapat disediakan kepada penduduk setempat.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata, cadangan tersebut dilihat sebagai satu keperluan penting memandangkan Pantu kini telah dinaik taraf sebagai sebuah daerah penuh.
Menurut beliau, selaras dengan status baharu itu, Daerah Pantu perlu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan serta prasarana pentadbiran yang lengkap bagi memenuhi keperluan penduduk tempatan.

Katanya, kemudahan yang diperlukan termasuk sekolah menengah, balai bomba, klinik kesihatan, kemudahan perbankan serta pelbagai kemudahan awam lain yang dapat menyokong pembangunan kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau bersama Pegawai Daerah Pantu, wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman dan PPD Simunjan telah mengadakan satu mesyuarat bagi membincangkan cadangan pembinaan sekolah menengah tersebut.
Turut hadir dalam perbincangan itu ialah beberapa pegawai daripada kedua-dua PPD berkenaan, wakil Jabatan Tanah dan Survei serta Ketua-Ketua Masyarakat dari Daerah Pantu.

Perbincangan tersebut turut mengambil kira aspek demografi dan populasi penduduk setempat termasuk pertambahan bilangan pelajar di kawasan Pantu dan sekitarnya yang memerlukan kemudahan pendidikan menengah yang lebih dekat serta mudah diakses.
Beliau berharap cadangan pembinaan sekolah menengah itu dapat direalisasikan pada masa hadapan demi memastikan anak-anak di Daerah Pantu mendapat akses pendidikan yang lebih baik dan selesa.
Oleh Adi Safarman