
SIMANGGANG: Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Sri Aman terus komited menyokong perkembangan usahawan tempatan apabila mengadakan tinjauan ke dua tapak bazar Ramadan di Bandar Simanggang dekat sini, petang semalam.
Timbalan Pengerusi DUBS Cawangan Sri Aman, Gerald Empaling Donald berkata, lawatan tersebut bertujuan meninjau sendiri suasana serta aktiviti jualan yang berlangsung di bazar berkenaan sepanjang Ramadan.
Menurut beliau, tinjauan itu turut disertai Pengerusi DUBS Cawangan Sri Aman, Abdillah Majid bersama beberapa ahli jawatankuasa DUBS bagi mendekati para peniaga serta mendapatkan maklum balas secara langsung daripada usahawan yang terlibat.

Katanya, antara lokasi yang dilawati ialah Fiesta Bazar Ramadan Sri Aman 2026 di Jalan Hospital yang dianjurkan hasil kerjasama Persatuan Persaudaraan Melayu Sri Aman Betong, Jawatankuasa Usahawan Simanggang (JUS) serta Restoran Resepi Teratak.
Selain itu, rombongan turut meninjau bazar Ramadan anjuran Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Simanggang yang berlangsung di hadapan Pasar Tamu Sri Aman.
Beliau menjelaskan penganjuran bazar Ramadan seperti ini bukan sahaja memeriahkan suasana Ramadan, malah berperanan sebagai pusat hentian utama yang menawarkan pelbagai pilihan juadah berbuka puasa kepada pengunjung.

“Bazar Ramadan bukan sahaja menjadi lokasi tumpuan orang ramai mencari juadah berbuka, malah turut menjadi platform penting kepada usahawan tempatan mempromosikan produk serta menjana pendapatan,” katanya.
Dalam masa sama, para usahawan yang ditemui turut mengambil peluang menyuarakan beberapa cadangan penambahbaikan bagi penganjuran program seumpama itu pada masa hadapan.
Gerald berkata, setiap pandangan dan luahan yang dikongsikan oleh para peniaga akan dijadikan rujukan oleh pihak DUBS bagi memastikan keselesaan serta kemudahan yang lebih baik kepada pengunjung dan juga usahawan bazar pada masa hadapan.
Beliau menambah, DUBS akan terus memainkan peranan dalam memperkasa usahawan Bumiputera menerusi pelbagai program sokongan serta inisiatif pembangunan keusahawanan khususnya di kawasan Sri Aman.
Dalam tinjauan tersebut, rombongan DUBS turut menyampaikan tanda ingatan kepada para usahawan yang berniaga sebagai simbolik penghargaan serta usaha memperkenalkan organisasi itu kepada komuniti peniaga setempat.
Oleh Adi Safarman