
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan rakyat terus menerima bantuan melalui penyasaran subsidi RON95 di bawah inisiatif BUDI95, selain mengekalkan harga petrol dan diesel walaupun perbelanjaan subsidi bahan api meningkat, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata subsidi kerajaan bagi petrol meningkat kepada RM2 bilion manakala subsidi diesel naik kepada RM1.2 bilion sebulan berbanding RM700 juta sebelum ini.
“Walaupun Kerajaan MADANI menangani implikasi kenaikan harga minyak global, kerajaan akan terus mengambil penekanan untuk memastikan rakyat disokong dan dapat mengekalkan pemberian inisiatif BUDI95. Ini memberikan sedikit kelegaan kepada rakyat.
“Beban ini masih boleh ditampung kerajaan kerana kita telah melaksanakan banyak reformasi dan konsolidasi fiskal dalam tempoh tiga tahun Kerajaan MADANI memerintah,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat khas Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.
Pada masa laporan ini dibuat, harga minyak mentah Brent meningkat 0.12 peratus kepada AS$100.6 setong.
Amir Hamzah juga berkata tempoh konflik di Asia Barat masih tidak dapat dipastikan dan kerajaan perlu meneliti langkah ke hadapan atau “no regret move” yang boleh diambil bagi mengurangkan beban rakyat.
Beliau berkata dalam keadaan global yang tidak menentu, kerajaan memutuskan untuk mengambil langkah sendiri bagi menguruskan keadaan tersebut.
“Sebagai contoh, cadangan Perdana Menteri supaya agensi kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) tidak menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri merupakan antara langkah penjimatan yang dilaksanakan,” katanya.
Sebelum ini, Anwar berkata mesyuarat khas Jemaah Menteri diadakan untuk meneliti kedudukan fiskal negara dan memantau secara rapi perkembangan situasi di Iran susulan konflik di Asia Barat.
Konflik di Asia Barat bermula pada 28 Februari lepas apabila Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran, yang kemudiannya dibalas Tehran melalui serangan peluru berpandu dan dron terhadap kepentingan AS serta sekutunya di rantau itu.
Ketegangan tersebut turut menjejaskan pasaran tenaga global apabila laluan strategik Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia terjejas susulan ancaman dan tindakan Iran yang menghalang laluan kapal di kawasan itu.
Situasi berkenaan menyebabkan harga minyak dunia menjadi tidak menentu berikutan kebimbangan mengenai gangguan terhadap bekalan tenaga global. – Bernama