
LUNDU: Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang turun padang meninjau perkembangan projek pembinaan Jambatan Selampit bagi menilai kemajuan serta punca kelewatan pelaksanaannya, semalam.
Lawatan ke tapak projek itu memberi peluang kepada pihak Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) dan kontraktor menjelaskan beberapa cabaran utama yang menjejaskan kemajuan pembinaan.
Antaranya termasuk keperluan mereka bentuk semula struktur dan tapak jambatan, kajian semula keadaan tanah serta faktor alam sekitar seperti banjir dan paras air tinggi di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, projek tersebut amat penting kepada penduduk setempat kerana ia bakal memperbaiki akses perhubungan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat Kampung Selampit dan kawasan sekitarnya.
Beliau turut berharap pihak kontraktor bersama JKR Sarawak dapat mempercepatkan pelaksanaan kerja supaya projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual baharu yang ditetapkan.
Setakat ini, pembinaan Jambatan Selampit disasarkan siap pada November 2026.