
DARO: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad menyantuni warga Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro menerusi Majlis Iftar Ramadan, petang semalam.
Pada majlis tersebut, Safiee berkesempatan meninjau sebuah jentera baharu yang dibekalkan kepada BBP Daro.
Safiee berkata, penambahan aset baharu kepada balai berkenaan amat signifikan dalam memastikan tahap kesiapsiagaan pasukan bomba sentiasa berada pada tahap terbaik, khususnya dalam memberikan respons pantas terhadap sebarang kecemasan yang berlaku.
“Anggota bomba merupakan barisan hadapan yang memainkan peranan amat penting dalam memastikan keselamatan masyarakat.
“Oleh itu, penyediaan kelengkapan dan aset yang mencukupi amat diperlukan bagi memudahkan mereka menjalankan tugas dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya ketika beramah mesra bersama pegawai serta anggota yang hadir.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua anggota BBP Daro atas dedikasi serta pengorbanan mereka dalam memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin walaupun terpaksa bertugas tanpa mengira masa, termasuk pada bulan Ramadan.
“Saya berharap agar semangat kebersamaan seperti ini terus dipupuk melalui penganjuran program seumpama ini yang bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama anggota agensi kerajaan, malah memupuk nilai perpaduan serta semangat muafakat dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan tahlil dan doa selamat yang dipimpin oleh Al-Fadil Ustaz Abdul Hafiz Taha.
Turut hadir Ketua BBP Daro, Hasman Bakar; Pegawai Daerah Daro, Zul Usup serta yang lain.
Oleh Akun Giman