TBS kutip RM155 juta zakat bagi 2025

Facebook
WhatsApp
BANTUAN… Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie menyerahkan bantuan kewangan kepada penerima pada Majlis Iftar Perdana sempena Program Kasih Ramadan di Dewan Kompleks Islam Sarawak, Sibu semalam.

SIBU: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) berjaya mengutip lebih RM155 juta zakat bagi 2025.

Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata, jumlah agihan bantuan sebenarnya melebihi kutipan tersebut kerana pihaknya turut menggunakan lebihan dana daripada tahun-tahun sebelumnya.

“Ini kerana sepanjang perjalanan organisasi kita selama ini, kita mendapat banyak bantuan dan kerjasama daripada pelbagai pihak, khususnya pihak media yang telah memberikan kerjasama yang begitu baik sekali. 

“Begitu juga para asnaf, jabatan lain, agensi kerajaan serta rakan-rakan strategik kami yang banyak membantu dalam melaksanakan sistem penyampaian bantuan kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya.

BAJU RAYA… Projek Infak Baju Raya Al Bait anjuran Yayasan Kepimpinan Al Bait (YKAB) sebuah program istimewa bertujuan untuk memberikan pakaian baharu kepada golongan yang memerlukan terutamanya golongan Asnaf di sekitar bandar Sibu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Iftar Perdana sempena Program Kasih Ramadan di Dewan Kompleks Islam Sarawak, Sibu petang semalam.

Mohd Shibli memberitahu, TBS menyalurkan bantuan berjumlah RM279,095 kepada 1,010 penerima asnaf di bahagian Sibu sebagai persediaan menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

“Ini merupakan satu manifestasi keprihatinan pihak kami, khususnya menjelang sambutan Ramadan dan juga Aidilfitri,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan mengenai pembangunan sebuah bangunan Baitulmal di Sri Aman yang dibangunkan melalui dana yang dimiliki organisasi berkenaan.

Katanya, bangunan tersebut bukan sahaja memberi manfaat dari segi penggunaan seperti sewaan, malah menempatkan beberapa agensi kerajaan bagi memudahkan masyarakat mendapatkan pelbagai perkhidmatan di satu lokasi.

UNTUK KENANGAN…. Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie merakam kenangan bersama para tetamu pada Majlis Iftar Perdana sempena Program Kasih Ramadan di Dewan Kompleks Islam Sarawak, Sibu semalam.

“Antara agensi yang ditempatkan di bangunan itu termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, pejabat residen, pejabat daerah serta beberapa jabatan lain yang menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat setempat,” ujarnya lagi.

Selain itu, kaunter Perkhidmatan Kerajaan Negeri juga akan disediakan bagi membolehkan orang ramai mendapatkan pelbagai urusan perkhidmatan kerajaan di pusat berkenaan.

Pada majlis tersebut, Mohd Shibli telah menyempurnakan penyerahan bantuan kewangan berjumlah RM53,400 kepada 213 penerima.

Beliau turut menyempurnakan perasmian Projek Infak Baju Raya Al Bait anjuran Yayasan Kepimpinan Al Bait (YKAB) yang merupakan sebuah program istimewa bertujuan untuk memberikan pakaian baharu kepada golongan yang memerlukan terutamanya golongan Asnaf di sekitar bandar Sibu.

Oleh Akun Giman

Kepulangan terakhir Koperal Chiu, keluarga iringi penghormatan terakhir

SIBU: Di sebalik kepulangan jenazah Koperal Chiu Teck Siong ke kampung halamannya hari ini, balu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu hanya mampu memikirkan masa depan lima anak mereka yang masih kecil, terutama soal pendidikan selepas kehilangan tonggak keluarga dalam tragedi renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, semalam. Tan Wei Wei, 39, berkata, keutamaan beliau ketika ini ialah memastikan kelima-lima anak mereka mendapat pembiayaan pendidikan yang mencukupi memandangkan mereka masih kecil. “Yang saya fikir sekarang ialah pendidikan masa depan mereka. Mereka semua masih kecil, sedangkan gaji suami bukanlah besar,” ujarnya ketika ditemui di Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima di sini, lewat petang tadi. Beliau berkata, lima anak mereka masing-masing berusia 11, 10, sembilan, tujuh dan empat tahun. Menurutnya, empat anak yang lebih besar bersekolah di SJK(C) Tung Hua, Sibu, manakala anak bongsu mengikuti pendidikan prasekolah di Tadika Sing Antong. Tan berkata, mendiang suaminya telah lama berhasrat untuk dipindahkan semula bertugas ke Sibu supaya dapat tinggal bersama keluarga, namun hasrat itu tidak kesampaian. “Memang sudah lama dia hendak berpindah balik ke sini, tetapi belum berjaya,” katanya. Beliau berkata, kali terakhir anak-anak dapat meluangkan masa bersama bapa mereka ialah ketika sambutan Tahun Baharu Cina lalu. Koperal Chiu, 40, merupakan antara tiga anggota polis yang maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan galah logam untuk mengambil kelapa di luar Balai Polis Weston, Beaufort, Sabah, semalam. Jenazah beliau diterbangkan dari Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu dan tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 5.50 petang. Van yang membawa jasad mendiang kemudian diiringi kenderaan polis serta ahli keluarga ke Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima. Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di dewan berkenaan pada 7.30 pagi esok sebelum mendiang dibawa ke Nirvana Memorial Park untuk upacara pembakaran. Abu mendiang kemudian akan disemadikan di Methodist Grace Memorial Park di Jalan Kemuyang. Dua lagi mangsa yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26. Ketiga-tiga mereka bertugas di Balai Polis Weston, Beaufort. Oleh Akun Giman