
SIBU: Sebuah rumah jenis kekal dua tingkat di No. 5A Jalan Teku 15 di sini mengalami kerosakan kira-kira 40 peratus dalam satu kebakaran awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.28 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, didapati terdapat kepulan asap tebal keluar dari sebuah rumah dua tingkat berukuran kira-kira 20 x 40 kaki,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati api telah pun padam sebelum ketibaan pasukan bomba.
Menurut jurucakap itu, kebakaran dipercayai bermula di bahagian dapur di tingkat bawah rumah berkenaan.
“Anggaran awal kemusnahan adalah sekitar 40 peratus dan kesemua enam penghuni rumah dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya.
Operasi berjaya dikawal pada 1.40 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 2.14 pagi selepas pihak bomba memastikan keadaan selamat dan tiada lagi punca kebakaran.
Oleh Tarani Lanting