
BAU: Dua rumah kebun musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran di kawasan Sawah Sekunyit, Jalan Keranji di sini, awal pagi tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan berhubung kejadian itu diterima pada 5.43 pagi.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 34 kilometer dari balai.

“Hasil pemantauan mendapati kebakaran melibatkan dua rumah kebun telah terbakar 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, tiada operasi pemadaman dijalankan kerana kebakaran dipercayai telah berlaku lebih awal iaitu sekitar 9.00 malam tadi dan telah pun padam sebelum ketibaan pasukan bomba namun, tiada panggilan kecemasan diterima oleh BBP Bau ketika kejadian kebakaran berlaku semalam.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
Oleh Shahrul Qaizat