
PENGALAMAN pertama menyambut Aidilfitri sebagai isteri memberi makna tersendiri buat penyanyi, pelakon dan usahawan Amira Othman, apabila detik manis itu menjadi inspirasi untuk menghasilkan lagu raya baharu berjudul Bincang Raya yang dinyanyikan bersama-sama adiknya Irfan Haris.
Lagu yang dihasilkan dalam tempoh singkat itu bukan sahaja mencuri perhatian peminat, malah turut tular di TikTok dengan puluhan ribu klip video menggunakan audio lagu berkenaan.
Amira berkata idea menghasilkan lagu itu tercetus secara spontan selepas suaminya, pelakon Fattah Amin mencadangkan agar dia merakamkan lagu raya bersama-sama Irfan dengan perancangan dibuat pada saat-saat akhir.
“Masa itu Fattah cadangkan supaya saya buat lagu raya dengan Irfan. Saya pun tertanya-tanya sempat atau tidak, tapi alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran lagu tersebut semalam.

Menurut Amira, pengalaman pertama menyambut Aidilfitri sebagai isteri menjadi inspirasi kepada konsep lagu yang mengangkat situasi pasangan suami isteri berbincang giliran pulang beraya di kampung.
“Dulu setiap tahun saya hanya beraya di Johor dan tidak ada apa yang perlu dibincangkan. Tapi bila sudah ada suami, mestilah kena bincang dahulu. Lagu ini memang buat saya tersenyum setiap kali dengar,” kata Amira yang merancang menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur bersama-sama dengan keluarga Fattah.
Tambahnya, meskipun lirik lagu itu sering dikaitkan dengan pasangan suami isteri, dia memilih untuk mengekalkan konsep duet bersama-sama adiknya sebagai kelainan berbanding kebiasaan lagu raya.
“Ramai kata lagu ini lebih sesuai untuk pasangan suami isteri, tapi kami sengaja buat kelainan. Irfan yang banyak bertanya bila mahu keluarkan lagu raya, jadi saya rasa kenapa tidak kita buat bersama-sama,” katanya, menambah video muzik lagu raya berkenaan diarahkan oleh Fattah dan Khalid Nadzri.

Single terbitan Sony Music Entertainment Malaysia itu dihasilkan oleh Irfan bersama-sama Haiqal Iskandar, Syazriq dan Omar K, dengan gabungan elemen pop raya moden serta sentuhan klasik menerusi penggunaan instrumen seperti seruling.
Irfan yang juga penulis lagu berkenaan berkata proses penghasilan Bincang Raya berlaku dalam tempoh sangat singkat dengan rakaman dilakukan pada awal Februari.
“Bulan Januari kakak (Amira) tiada di Malaysia, jadi awal Februari baru kami sempat rakam. Lepas itu terus mix, master dan muat naik di TikTok sebelum lagu ini dilancarkan,” katanya.
Kini, Bincang Raya trending di TikTok dengan lebih 30,000 video menggunakan lagu itu sebagai latar.- Bernama