Pemain tengah Galatasaray, Mario Lemina (kiri) meraikan jaringan ketika menentang Liverpool dalam aksi pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara UEFA di Istanbul. Foto AFP
ISTANBUL: Liverpool berdepan risiko tersingkir awal apabila tewas 0-1 kepada Galatasaray dalam aksi pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara UEFA awal pagi tadi.
Gol tunggal Mario Lemina pada babak pertama di RAMS Park memberi kelebihan penting kepada kelab Turkiye itu menjelang aksi timbal balik di Anfield pada 18 Mac.
Skuad kendalian Arne Slot tampil hambar apabila pertahanan mereka mudah ditembusi selain gagal membina rentak serangan sepanjang perlawanan.
Mohamed Salah yang membuat penampilan ke-81 dalam Liga Juara-Juara bersama Liverpool – mengatasi rekod Jamie Carragher – turut gagal memberi impak sebelum dikeluarkan pada minit ke-60.
Tuan rumah mendahului seawal minit ketujuh apabila tandukan Victor Osimhen disambut Lemina dengan tandukan jarak dekat selepas pertahanan Liverpool gagal mengawal situasi sepakan penjuru.
Liverpool hampir menambah derita apabila Osimhen beberapa kali mengancam, namun percubaannya tersasar.
Penjaga gol Liverpool, Giorgi Mamardashvili yang menggantikan Alisson Becker turut dipaksa bekerja keras menyelamatkan percubaan Noa Lang dan tandukan Davinson Sanchez.
Liverpool cuba bangkit selepas rehat menerusi percubaan jarak jauh Dominik Szoboszlai dan peluang Alexis Mac Allister, namun kedua-duanya gagal menemui sasaran.
Malah gol yang disangka penyamaan juga dibatalkan selepas VAR mendapati Ibrahima Konate menggunakan tangan ketika menanduk masuk sepakan penjuru Szoboszlai.
Keputusan itu menyaksikan Liverpool perlu bangkit di Anfield jika mahu mengelak penyingkiran mengejut dalam saingan elit Eropah musim ini. – AFP.