
SIMANGGANG: Program Ambang Raya KTSA Edisi Ke-3 tahun 2026 dijangka memeriahkan suasana di Kampung Tengah dengan pelbagai aktiviti komuniti yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 16 hingga 18 Mac ini.
Program yang dianjurkan oleh Biro Belia Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tengah Simanggang itu akan diadakan di Gelanggang Futsal Kampung Tengah sebagai lokasi utama penganjuran.
Penganjuran program tersebut turut mendapat sokongan daripada Pusat Khidmat ADUN Lingga, sekali gus memperlihatkan komitmen dalam memperkukuh semangat perpaduan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Antara aktiviti utama yang bakal diadakan termasuk pertandingan Bola Sepak Jalanan bagi merebut Piala Ketua Kaum Kampung Tengah yang dijangka menarik penyertaan belia dari sekitar kawasan tersebut.
Selain itu, program turut menampilkan aktiviti Fun Run yang memberi peluang kepada penduduk setempat mengamalkan gaya hidup sihat sambil mengeratkan hubungan sesama komuniti.
Pertandingan dart juga akan diadakan sebagai salah satu acara santai yang dijangka mendapat sambutan daripada pelbagai peringkat umur.
Dalam masa yang sama, program tersebut turut diserikan dengan penganjuran Malam Qiamullail yang akan diadakan di Masjid Lama Kampung Tengah sebagai pengisian rohani kepada masyarakat.
Penganjuran Ambang Raya KTSA ini diharap dapat memupuk semangat komuniti, mempererat ukhuwah serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk setempat menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Oleh Adi Safarman