
SIMANGGANG: Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis meluangkan masa menziarahi mangsa kebakaran di Lorong 1, RPR Fasa 1, Taman Sentosa Indah di sini, hari ini.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang hadir bersama isterinya, Datin Simba Nalang bagi menyampaikan sokongan moral serta melihat sendiri keadaan keluarga mangsa yang terjejas akibat kejadian tersebut.
Kebakaran yang berlaku pada awal pagi Sabtu lalu memusnahkan rumah kediaman milik keluarga Abang Mohd Sanwani Abang Amin, sekali gus meragut nyawa seorang ahli keluarga daripada enam penghuni rumah berkenaan.

Dalam kejadian itu, beberapa ahli keluarga yang terselamat turut mengalami kecederaan melecur di beberapa bahagian badan dan kini sedang menerima rawatan.
Menurut Harden, tragedi tersebut amat menyentuh hati lebih-lebih lagi ketika keluarga terbabit sedang membuat persiapan menyambut kedatangan Syawal.
“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kita amat bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga ini dan berharap mereka tabah menghadapi dugaan ini,” katanya.

Beliau berkata, kehadirannya adalah sebagai tanda keprihatinan selain memastikan mangsa mendapat bantuan sewajarnya daripada pihak berkaitan.
Pada masa sama, Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Simanggang turut menghulurkan bantuan awal berupa barangan keperluan harian bagi membantu meringankan beban keluarga mangsa.
Harden turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan serta sokongan kepada keluarga yang terjejas akibat tragedi itu.
Hadir sama mengiringi beliau di lokasi kejadian ialah beberapa ahli Pemuda SUPP Cawangan Simanggang serta ketua masyarakat dan ketua kaum tempatan.
Turut berada di tempat kejadian, Ketua Kaum Awang Kamaruddin Awang Majid, Ketua Kaum Shaibi Bakir, Kapitan Tay Yaw Ming, Kapitan Tay Buan Boon dan Kapitan Lai Joon Pin.
Oleh Adi Safarman