
PETRA JAYA: Satu mesyuarat penyelarasan persiapan fasa akhir bagi penganjuran Majlis Rumah Terbuka Hari Raya anjuran Astana Sarawak 2026 pada 1 Syawal 1447H telah diadakan bersama 25 vendor yang terlibat dalam penyediaan pelbagai keperluan bagi memastikan kelancaran majlis tersebut.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertua Negeri, Dato’ Sri Syed Hamzah Syed Paie dan berlangsung di perkarangan Astana Sarawak.
Perbincangan tertumpu kepada penyelarasan tugasan serta semakan persiapan akhir oleh semua pembekal yang terlibat, termasuk penyediaan khemah, dekorasi, sistem alat siar raya, kemudahan logistik serta keperluan teknikal lain. Turut dibincangkan ialah penyelarasan perkhidmatan katering serta penyediaan makanan dan minuman yang akan disajikan kepada para pengunjung sepanjang majlis berlangsung.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat serta komitmen semua pihak yang terlibat agar setiap aspek persiapan dapat dilaksanakan dengan teratur dan mengikut perancangan yang telah ditetapkan.
Majlis Rumah Terbuka Hari Raya anjuran Astana Sarawak 2026 pada 1 Syawal 1447H dijadualkan berlangsung dari 9.00 pagi hingga 4.00 petang, dan dijangka menerima kehadiran sekitar 20,000 orang pengunjung pada majlis tersebut.
Beliau berharap agar segala persiapan yang sedang giat dilaksanakan ini dapat memastikan majlis tersebut berlangsung dengan lancar, teratur serta memberi suasana sambutan Hari Raya yang meriah dan penuh makna kepada semua pengunjung yang hadir.