
SIBU: Kelab Belia Lestari tampil meraikan masyarakat sekitar Kampung Usahajaya Baru, Sentosa dengan mengagihkan sebanyak 500 pek bubur lambuk di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Sentosa, semalam.
Pengerusinya, Muhammad Mustaqim Hasin berkata, program tersebut merupakan aktiviti tahunan kelab berkenaan setiap kali Ramadan sebagai usaha berkongsi rezeki bersama penduduk setempat.
Menurutnya, program itu juga bertujuan menggalakkan golongan belia dalam kelab berkenaan supaya lebih aktif terlibat dalam kerja-kerja amal dan kebajikan masyarakat.

“Semua proses penyediaan bubur lambuk ini bermula daripada penyediaan bahan, memasak, membungkus hingga proses pengagihan dilakukan sepenuhnya oleh ahli kelab sendiri,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa dana bagi melaksanakan aktiviti tersebut adalah hasil sumbangan ahli kelab sendiri tanpa sebarang peruntukan atau tajaan daripada mana-mana pihak.
Dalam pada itu, Mustaqim berkata, kelab yang ditubuhkan pada tahun 2020 itu memberi peluang kepada golongan belia memainkan peranan dalam masyarakat melalui aktiviti kebajikan selaras dengan matlamat penubuhannya.
Tambahnya, penyertaan dalam kelab tersebut juga menjadi platform terbaik kepada golongan belia untuk berbakti kepada masyarakat selain dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dengan aktiviti tidak bermoral.
“Kita sedia maklum penglibatan belia dalam kerja-kerja amal agak terhad kerana mereka lebih banyak meluangkan masa dengan media sosial dan sebagainya.
“Oleh itu, penubuhan Kelab Belia Lestari bertujuan mengajak golongan belia berganding bahu melaksanakan kerja-kerja kebajikan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Pada masa sama ia dapat mengelakkan belia daripada terjebak dengan gejala-gejala yang tidak sepatutnya,” ujarnya.
Oleh Tarani Lanting