Pearly Tan-M Thinaah kandas separuh akhir badminton All England 2026

Facebook
WhatsApp
Aksi Pearly Tan (kiri) dan M Thinaah ketika bertemu pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee pada aksi separuh akhir Kejohanan Badminton All England 2026 di Arena Utilita Birmingham pada Sabtu. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah kecundang kepada pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee pada aksi separuh akhir Kejohanan Badminton All England 2026 pada Sabtu.

Pasangan nombor dua dunia itu tewas 17-21, 18-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama satu jam di Arena Utilita Birmingham.

Pearly-Thinaah memulakan set pertama dengan baik apabila mendahului 2-0, namun Ha Na-So Hee yang berada di ranking keempat dunia bangkit memintas kedudukan untuk mendahului dengan kelebihan 11-9 selepas kira-kira 13 minit permainan.

Pearly-Thinaah bekerja keras untuk merapatkan kedudukan, namun Ha Na-So Hee berhasil menutup set pertama 21-17. 

Pada set kedua, Pearly-Thinaah bermula lebih agresif dengan mendahului 10-7 sebelum wakil Korea Selatan itu bangkit melengkapkan kemenangan 21-18 untuk mara ke final.

Ia merupakan kekalahan keempat Pearly-Thinaah dalam tujuh pertembungan menentang Ha Na-So Hee sejak 2022. – BERNAMA