
KOTA SAMARAHAN: Seramai 12 individu ditahan dalam satu operasi cegah penyalahgunaan dadah yang dijalankan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kota Samarahan di beberapa lokasi sekitar daerah ini.
Operasi tersebut bertujuan untuk mencegah aktiviti penyalahgunaan dadah dan mengesan individu yang terlibat di kawasan berisiko. Hasil pemeriksaan dan saringan awal air kencing mendapati kesemua 12 individu positif dadah dan seterusnya ditahan untuk tindakan lanjut.

Kesemua individu yang ditahan berusia antara 20 hingga 50 tahun dan dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Mereka dibawa ke pejabat AADK untuk proses dokumentasi serta tindakan mengikut peruntukan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283).
AADK Kota Samarahan memaklumkan bahawa operasi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan agensi dalam membanteras penyalahgunaan dadah serta memastikan komuniti bebas daripada aktiviti penagihan dan penyalahgunaan bahan terlarang.
Pihak AADK turut menggesa orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha pencegahan dan penguatkuasaan.